≡ Menu

Wanita Dan Perfume

Print Friendly

Haruman daripada minyak wangi yang dipakai seorang wanita yang melintas di hadapan tadi masih kuat berbau walaupun wanita itu sudah hilang daripada pandangan.

Dalam hati memuji-muji bau haruman minyak wanginya dan tertanya-tanya jenama apakah minyak wangi yang dipakai oleh wanita itu.

Hmm, jika saya, yang juga seorang wanita pun terpikat dan sukakan bau yang datang daripada wanita itu, kaum Adam juga pasti menyukainya dan mereka pasti akan tertoleh-toleh untuk melihat gerangan wanita yang berbau sangat harum itu.

Jika hal demikian terjadi, maka berdosalah wanita itu kerana telah menarik minat (atau mungkin nafsu) kaum Adam terhadapnya.

Memang menjadi fitrah manusia sukakan sesuatu yang cantik dan wangi. Ini kerana Allah juga sukakan kecantikan dan menggalakkan hamba-Nya berhias dengan pakaian yang cantik untuk mengerjakan ibadah. Hal ini bersesuaian dengan maksud surah Al-A’raaf, ayat yang ke-31:

“Wahai anak-anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mengerjakan solat), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas.”

Galakan untuk berhias ini bukan sahaja untuk kaum lelaki, bahkan juga untuk kaum wanita. Akan tetapi, perhiasan kaum wanita hanya terhad kepada golongan tertentu. Mereka tidak boleh berhias dan mempamerkan perhiasan mereka pada khalayak ramai seperti firman Allah dalam surah An-Nuur, ayat 31 yang bermaksud:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Terdapat beberapa hukum tentang wanita memakai minyak wangi iaitu harus, sunat, makruh dan haram. Wallahu’alam.

 

Harus

Seseorang wanita itu dikatakan harus memakai wangi-wangian ketika suami berada di rumah terutamanya ketika ingin melayan suami mereka. Selain daripada itu, wanita tidak diharuskan memakai wangi-wangian. Nabi s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

“Sebaik-baik wanita (isteri) ialah jika kamu memandangnya sentiasa menyenangkan hati kamu…” (Riwayat an-Nasa’is dari Abu Hurairah)

Ini bererti seorang wanita itu haruslah sentiasa kelihatan menarik dari segi akhlak dan penampilannya agar dapat menyenangkan hati suaminya.

 

Sunat

Sunat bagi wanita berwangian ketika berada di rumahnya, ketika ingin menunaikan solat dan beribadah di dalam rumahnya, dan juga ketika menyambut tetamu wanita.

Terdapat hadis yang menjelaskan wanita juga digalakkan berwangi-wangian tetapi bukan pada tempat yang telah dilarang. Rasulullah telah bersabda yang bermaksud:

“Wangi-wangian lelaki ialah yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya. Sementara wangi-wangian wanita pula ialah yang cemerlang (jelas) warna dan tersembunyi baunya” (Riwayat al-Tarmizi)

Wanita juga disunatkan memakai wangian sebelum melakukan ihram. Aisyah r.a berkata:

“Kami (isteri-isteri Rasulullah s.a.w) pergi menunaikan haji bersama Rasulullah s.a.w. Ketika hendak berihram, kami memakai minyak wangi yang terbaik di kening kami. Ketika salah seorang di antara kami berpeluh, minyak wangi itu akan mengalir hingga ke muka dan Rasulullah s..aw melihat hal itu, tetapi tidak menegur kami (ertinya nabi s.a.w tidak melarang)” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

 

Makruh

Hukum berwangi-wangian ketika berpuasa adalah makruh. Ini telah umum disepakati oleh ulama dan terdapat penjelasan dalam bab puasa.

Keterangan yang dapat dipegang dan dijadikan alasan ialah fatwa Imam Syafie dan Qaliyubi yang menyatakan “makruh memakai wangi-wangian ketika berpuasa”. Menurut Qaliyubi pendapat itu ialah pendapat ijmak.

 

Haram

“Seorang wanita yang memakai bau-bauan dan melintasi satu kaum (orang banyak) maka dia itu adalah perempuan zina” (Abu Dawud, Tirmidzi)

Nabi s.a.w bersabda:

“Siapa saja perempuan yang memakai minyak wangi kemudian keluar ke masjid nescaya tidak diterima solatnya sehingga ia mandi dahulu (membersihkan dirinya dari wangi-wangian tersebut).” (Sahih riwayat Ibnu Majah dari jalan Abu Hurairah)

Abu Hurairah menceritakan bahawa dia pernah bertemu dengan seorang wanita sedang pulang daripada masjid dan ia berbau wangiannya, lalu beliau menegur:

“Wahai hamba Allah, apakah kamu pulang dari masjid. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa Allah s.w.t tidak akan menerima solat wanita yang memakai bau-bauan ke masjid sehingga dia pulang dan mandi……” (Abu Daud, An-Nasaie, Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)

Abu Musa meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda:

“Setiap mata itu berzina (apabila memandang dengan nafsu wanita yang asing). Dan seorang wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melalui sesuatu majlis, maka ia adalah demikian, demikian…(penzina)” (Riwayat Tirmidzi)

Daripada hadis-hadis di atas, maka jelaslah bahawa kaum wanita diharamkan memakai wangi-wangian ketika keluar dari rumah dan juga dilarang berhias berlebih-lebihan kecuali di rumah terutamanya di hadapan suaminya.

Allah jualah yang Maha Mengetahui. Wassalam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
{ 13 comments… add one }
  • Tawar April 26, 2012, 1:53 pm

    Pengalaman aku , isteri aku sendiri pun tak pernah berwangian untuk aku ; aku hanya dapat tempias wangian bila dia keluar mandi dan bersolek sedikit untuk pergi kerja; pengetahuan ugamanya luas dan sentiasa menutup aurat bila keluar ..

    Mungkin sebab itu bidadari diberikan kpd kaum lelaki sebab masa di dunia isteri tak suka buat apa yg suami idamkan

    • hamba tuhan April 26, 2012, 4:52 pm

      u get what u give..

  • Hayati May 2, 2012, 11:09 pm

    wangi-wangian seorang isteri sememangnya hanya untuk suami, tetapi bagi seorang isteri yang bekerjaya memang selalunya minyak wangi tak dapat dipisahkan…tp bg saya niat asal saya agar orang sekeliling berasa selesa apabila berhampiran dengan saya, ini kerana saya ada seorang teman memang jarang memakai minyak wangi, klu ada pun sedikit pernah juga saya mendengar ketika di lif ada yang berbisik-bisik tentang bau badannya…alangkah malunya jika kejadian ini berlaku kepada saya..jadi kalau nak pakai biarlah berpada2 dan jangan pilih yang haruman terlalu pekat hingga menarik perhatian sekeliling khususnya kaum lelaki…

    • islammyaddin May 12, 2012, 9:29 pm

      assalamualaikum,..
      ustazah saya ada berpesan,
      boleh perempuan berwangian untuk mengelakkan bau yg kurang menyenangkan akan tetapi jgn melampau2..
      🙂

    • Ahmad May 22, 2012, 11:31 am

      As Salam, Hayati: Niat tidak menghalalkan cara.. Cubalah jadi hamba Allah yang taat, Bila Allah & Rasul sudah tetapkan hukum tak perlulah kita mencari jalan dan alasan untuk tetap memakainya. Kalau nak pegang pada niat – Bolehke saya katakan: “saya cuma minum wine ni siket aje tak memabukkan pun, cuba nak celebrate dgn boss saya, bukan niat nak mabuk pun?” -Arak tu bila dah haram, haramlah..

      Tahukah anda bagaimana cara pelacur menarik pelanggannya? Perfume! sbb itu dalam hadis Rasullullah “Seorang wanita yang memakai bau-bauan dan melintasi satu kaum (orang banyak) maka dia itu adalah perempuan zina” (Abu Dawud, Tirmidzi)

      Kalau ada masalah bau badan, cuba cari solution utk hilangkan bau badan, bukan cari alasan macamana saya boleh pakai minyak wangi ni. Google je- bagaimana hilangkan bau badan- ada 1001 macam cara- nak seribu daya, taknak seribu dalih..
      (latest gunakan deodorant Magicrist- Menurut Shila, “ Magicryst benar-benar membantu saya tampil lebih yakin melakukan aktiviti luar. Tiada lagi bau badan, Magicryst sangat berkesan !”) -google it!

      Ikut saje cakap Allah & Rasul- Sebab Allah & Rasul lebih tahu maslahah disebalik hukum yang telah ditetapkan. So tak perlu kita mempertikaikan. jadilah hamba Allah yg bersyukur 🙂

      Wasimaqna- waatoqna: Saya dengar & saya Taat 🙂

      • raisya December 4, 2013, 1:56 pm

        wasamiqna waatoqna

  • hamba yang mencari redha ALLAH May 4, 2012, 10:28 pm

    sy sgt suka pd perfume..sy kna lbh brhati hati mngenainya

  • auntie zah May 14, 2012, 3:52 pm

    Walaupun seorg wanita itu memakai minyak wangi, tidak semestinya harus disemburkan sehingga semerbak terlampau.. bagi org yg faham cukup sekadar mencalitkan deoderant dibawah lengan.. bermacam2 jenis ada.. tidak perlukan minyak wangi yg kelihatannya punya ciri2 semburan..Sekiranya telah jatuh haram, carilah inisiatif lain utk mengelakkan ianya berbau..
    Islam itu telah mengariskan panduan, mengapa tidak kita pertahankan kebenarannya? Renung2kanlah selain membazir dan mendapat dosa saja…

  • haneesa June 6, 2012, 3:49 pm

    mohon share di blog..syukran….

  • hamba Allah June 16, 2012, 6:21 pm

    Tkasih atas perkongsian ilmu..

  • hidayah June 29, 2012, 4:57 pm

    jika memakai myk wangi tetapi lelaki ajnabi x terbau haruman tersebut,hukumnya bagaimana?

    • Abg masih bujang October 25, 2015, 6:28 pm

      Jgn la cri alasan utk pkai mnyk wangi
      “Wangi-wangian lelaki ialah yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya. Sementara wangi-wangian wanita pula ialah yang cemerlang (jelas) warna dan tersembunyi baunya” (Riwayat al-Tarmizi)
      Sudah terang lagi bersuluh

  • Suri rumah January 13, 2016, 12:46 pm

    Dulu masa keje sy cuma pkai obat ktiak je takot bau tk menyenangkn. Sejak da tk berkeje, bila kluar atau ka majlis, sy cuma pkai bedak… sgt menjimatkn tk payah beli obat wangi yg mahal2.

Leave a Comment

CommentLuv badge

Next post:

Previous post: