≡ Menu

Pembahagian Harta Peninggalan Suami Ketika Isteri Hamil

Print Friendly

Harta

Soalan:

Assalamualaikum para asatizah. Saya nak tanya tentang persoalan waris harta.

Situasi: Seorang suami meninggal dan isterinya sedang hamil.

Persoalan:

  1. Bolehkah pembahagian harta di buat sebelum bayi di lahirkan?
  2. Atau apakah ada masa yang sesuai untuk di buat pembahagian harta?
  3. Adakah bayi tersebut hanya berhak sebagai waris harta bapanya hanya setelah di lahirkan?

Timbul beberapa persoalan seperti:

  1. Jantina bayi (walaupun jantina bayi di scan, pernah berlaku pada rakan yang lain sebelum bersalin scan adalah perempuan tetapi selepas bersalin adalah bayi lelaki)
  2. Adakah bayi akan hidup sehingga di lahirkan (ada kes meninggal dlm kandungan)

Penjelasan asatizah sy dahului dgn terima kasih ?

Jawapan:

  1. Ijmak ulamak mengatakan bahawa janin (anak dalam kandungan) termasuk dalam waris yang berhak mendapat harta pusaka pewarisnya yang meninggal dunia sebagaimana waris-waris lain. Walau bagaimanapun, pewarisan janin bergantung kepada dua syarat iaitu :
    • Janin itu sudah wujud dalam kandungan ibunya semasa kematian pewaris.
    • Janin lahir dalam keadaan hidup walaupun hanya beberapa saat.

    Sehubungan itu, ulamak berselisih pendapat sama ada perlu janin itu dilahirkan dengan seluruh badannya dalam keadaan hidup atau sebahagian besarnya sahaja. Pendapat Imam Syafi’i, Maliki dan Hanbali mensyaratkan bahawa janin itu dilahirkan seluruh badannya dalam keadaan hidup. Oleh itu, jika sebahagian sahaja dilahirkan hidup kemudian meninggal dunia maka dia tidak berhak mewarisi walaupun kelahiran itu diikuti dengan tangisan. Manakala mengikut pendapat Mazhab Hanafi memadai janin itu lahir dengan sebahagian besar badannya hidup walaupun kemudiannya dia meninggal dunia atau asal bergerak sahaja sudah cukup dikatakan hidup.(Hukum Warisan Dalam Syariat Islam).

  2. Ulamak berselisih pendapat sama ada harta pusaka ini perlu dibahagikan sebelum atau selepas kelahiran janin. Mazhab Maliki berpendapat bahawa harta tersebut tidak boleh dibahagikan sehinggalah janin itu dilahirkan. Manakala menurut jumhur ulamak bahawa harta itu boleh dibahagikan sebelum kelahiran janin. Pendapat jumhur ini diterima pakai kerana menjaga kepentingan waris-waris lain dan bahagian yang disimpan untuk janin ialah bahagian yang paling maksimum sama ada lelaki atau perempuan. Sementara itu, waris-waris lain akan mengambil bahagian mereka yang paling minimum. Tetapi sekiranya semua waris bersetuju menangguhkan pembahagian tersebut sehingga janin dilahirkan maka ini adalah sebaik-baiknya. (Undang-undang Pusaka Islam Pelaksanaan di Malaysia).
  3. Kedudukan janin dalam pembahagian harta pusaka bersama-sama dengan waris-waris lain mempunyai beberapa keadaan. Jika seorang mati meninggalkan seorang isteri yang hamil, bapa dan ibu, maka janin boleh mewarisi harta pusaka dalam semua keadaan sama ada lelaki atau perempuan. Dalam keadaan ini, janin tersebut dianggap mempunyai dua kemungkinan iaitu lelaki atau perempuan. Kemungkinan bahagian yang lebih menguntungkan atau maksimum bagi janin yang perlu disimpan. Kadangkala anak lelaki lebih banyak bahagian atau kadangkala anak perempuan mendapat lebih. Oleh itu, bahagian yang menguntungkan janin diberikan kepadanya.

Oleh itu, dalam masalah ini dibuat dua andaian iaitu sama ada janin itu lelaki atau perempuan. Jika janin itu lelaki, maka isteri mendapat 1/8 (3/24), bapa mendapat 1/6 (4/24), ibu mendapat 1/6 (4/24), dan janin (anak lelaki) mendapat bakinya iaitu 13/24. Tetapi jika janin itu perempuan maka isteri mendapat 1/8 (3/24), bapa mendapat 1/6 (4/24), dan baki 1/24, ibu mendapat 1/6 (4/24) dan janin (anak perempuan) mendapat 1/2 (iaitu 12/24). Oleh itu, jika dilihat dalam masalah ini andaian bahawa janin itu lelaki adalah lebih menguntungkan, maka hendaklah disimpan atau ditangguhkan bahagian pusaka dengan andaian janin itu lelaki. Tetapi jika ternyata kemudian janin itu perempuan maka bapa akan mendapat bakinya 1/24 (‘asobah).(Undang-undang Pusaka Islam Pelaksanaan di Malaysia).

اليسع
Wallahu a’lam.

Sumber:
USRAH SOLAT (Q&A IBADAT)
Usrah Solat MSO-D7 berdasarkan fiqh mazhab al-Syafi’i

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
{ 0 comments… add one }

Leave a Comment

CommentLuv badge

Next post:

Previous post: