Misteri Baitulmaqdis dan Haiqal Sulaiman

by admin on September 26, 2011

Baitulmaqdis merupakan sebuah kota yang terletak di dalam wilayah Palestin dan diiktiraf sebagai kota ketiga paling suci bagi umat Islam selepas Mekah dan Madinah. Dalam kalangan masyarakat antarabangsa, kota ini lebih dikenali dengan nama Jerusalem yang bermaksud ‘tempat yang aman untuk didiami’.

Catatan sejarah menunjukkan kota ini telah diduduki manusia selama sekitar 5,000 tahun sekaligus merupakan antara kota yang tertua di dunia dan masih dihuni sehingga sekarang. Kota ini merupakan tempat pertembungan antara tiga agama samawi iaitu Islam, Yahudi, dan Kristian bahkan setiap agama mempunyai kawasan masing-masing di sekitar kota lama yang mengelilingi sebuah tanah tinggi yang terkepung dengan tembok yang tinggi lagi kukuh.

Masyarakat dunia menamakan kawasan tanah tinggi ini sebagai ‘Mount Temple’ disebabkan sejarahnya yang pernah menempatkan kuil Yahudi kuno iaitu dipanggil juga sebagai Haikal Sulaiman sebelum ia dimusnahkan, dibina semula dan sekali lagi dimusnahkan selepas kota ini dijajah oleh kerajaan-kerajaan yang berbeza.

Mengikut catatan sejarah, umat Islam pada era awal Islam dahulu menggelarkan kawasan di mana terletaknya ‘Mount Temple’ sebagai Madinah Baitulmaqdis yang membawa erti ‘City of the Temple’ yang mengambilkira akan kewujudan Haikal Nabi Sulaiman A.S yang menjadi tempat ibadat pertama kaum Yahudi sebelum dimusnahkan oleh orang Babylon pada tahun 586 sebelum Masihi.

Selepas kemusnahan pertama itu, Haikal ini dibina semula kira-kira selepas 70 tahun kemusnahan pertamanya apabila orang Babylon berjaya diusir, namun ia diruntuhkan kembali pada tahun 70 Masihi oleh Empayar Roman. Manakala kawasan kota yang wujud di sekeliling ‘Mount Temple’ ini dipanggil Iliya, berasal daripada nama ‘Aelia Capitolina’ yang diberikan semasa penjajahan orang Roman. Kawasan ‘Mount Temple’ pada asalnya agak tinggi dengan keadaan yang tidak rata tetapi pada tahun 19 sebelum Masihi, pemerintah ketika itu iaitu Herod the Great telah membina tembok tinggi mengelilingi kawasan ini lalu meratakan permukaannya di dalam kawasan tembok sepertimana keadaan sekarang.

Selepas pengislaman Kota Baitulmaqdis yang bermula ketika zaman khalifah Umar al-Khattab, nama ‘Mount Temple’ telah ditukarkan kepada Haram al-Sharif yang menggambarkan kedudukan kawasan suci ini yang mendapat tempat yang mulia di dalam Islam sementara kota disekitarnya inilah dinamakan Baitulmaqdis.

Pada Zaman Khalifah Sulaiman iaitu salah seorang khalifah di dalam era Turki Uthmaniyyah, beliau telah membina semula dinding seakan-akan sebuah tembok di sekeliling kota Baitulmaqdis. Sekarang ini Baitulmaqdis yang asal dirujuk sebagai kota lama Baitulmaqdis iaitu kawasan yang dikepungi tembok tadi. Di kota inilah terletaknya Masjid al-Aqsa yang telah disebut di dalam kitab suci al-Quran dan al-Hadis yang mana beribadat di dalamnya mendapat seribu ganda pahala berbanding di tempat-tempat lain.

Masjid al-Aqsa di dalam bahasa Arab bermaksud ‘masjid yang jauh’, merujuk pada jaraknya yang berjauhan daripada bumi Mekah yang menempatkan Masjid al-Haram. Di sini juga menjadi tapak kepada salah satu peristiwa terpenting di dalam Islam iaitu Isra’ dan Mikraj yang mana ketika itu, Nabi Muhammad S.A.W telah dinaikkan ke langit untuk menghadap Allah S.W.T. Baitulmaqdis juga menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah ke Mekah, iaitu kira-kira selama enam belas bulan. Kedua-dua peristiwa besar Islam ini iaitu pembinaan Masjid al-Aqsa dan peristiwa Isra’ Mikraj ini berlaku di atas tapak Haram al-Sharif.

Selain itu, Masjid Kubah Batu turut dibina berdekatan dengan Masjid al-Aqsa dan telah dibina pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik semasa era Bani Umayyah. Diriwayatkan senibina masjid ini yang begitu indah dengan kubah berwarna keemasannya yang menonjol adalah untuk menyaingi kehebatan senibina gereja-gereja di sekitar Baitulmaqdis yang menjadi tumpuan ramai pelawat. Kini Masjid Kubah Batu menjadi antara monumen tertua orang Islam yang sangat dikenali.

Masjid ini mendapat namanya berikutan dipercayai didirikan di atas tapak batu terapung yang terjadi ketika peristiwa Isra’ dan Mikraj. Ironinya batu ini juga dianggap suci oleh penganut Yahudi disebabkan kepercayaan bahawa ia merupakan pusat bagi ‘Mount Temple’ dan dianggap sebagai asas untuk pembinaan kuil mereka satu masa nanti.

Tetapi menurut catatan sejarah ketika Khalifah Umar al-Khattab r.a yang bertanggungjawab menjadikan Baitulmaqdis sebagai salah sebuah wilayah Islam, setibanya di kota ini beliau lalu bertanyakan mengenai batu yang menjadi tempatnya Baginda Rasul dinaikkan ke langit, lalu ditunjukkan oleh penduduk kota pada sebuah batu terbiar di atas tanah tinggi yang dikepungi oleh tembok. Lebih malang apabila kaum Yahudi mengotorkan kawasan itu dengan najis dan sampah sarap sebagai tanda penghinaan kepada lokasi peristiwa Isra’ Mikraj itu. Khalifah Umar membersihkan kawasan itu bersama-sama dengan orang Mukmin yang lain dan membina Masjid al-Aqsa buat kali pertamanya di bumi Baitulmaqdis itu

Masyarakat Yahudi menganggap Haikal ketiga dan sepatutnya menjadi yang terakhir seharusnya dibangunkan di atas lokasi yang sama iaitu Haram al-Sharif bahkan perkara yang sama turut dicatatkan di dalam kitab Injil. Perebutan tapak suci inilah yang menjadi teras konflik antara Islam dan Yahudi selanjutnya menjadikan kawasan suci ini sebagai tempat krisis yang masih belum selesai sehingga sekarang.

Salah satu tembok yang mengelilingi Haram al-Sharif ini, iaitu tembok di bahagian barat ataupun ‘Western Wall’ ini menjadi tempat suci bagi penganut Yahudi. Tembok yang dibina lebih daripada 2,000 tahun yang lampau ini merupakan satu-satunya bahagian Haikal kedua mereka yang masih wujud. Mereka menganggap Tuhan mereka berada di sebalik tembok itu dan pandangan mereka terhalang disebabkan dosa-dosa yang telah mereka lakukan. Oleh kerana itu lokasi ini menjadi tempat mereka beribadat dan meratap di atas dosa-dosa yang mereka lakukan dan amalan ini masalah berlangsung sehingga sekarang ini, susulan dengan itu kadang-kadang tembok ini juga dirujuk sebagai ‘Wailing Wall’ ataupun tembok ratapan.

Mengikut agama Kristian pula, Baitulmaqdis juga mendapat kedudukan yang mulia dan dianggap sebagai tanah suci mereka. Nabi Isa A.S yang dilahirkan di Baitullaham iaitu sebuah bandar yang berhampiran dengan Baitulmaqdis terus dibawa ke Baitulmaqdis sebaik sahaja dilahirkan. Semasa remajanya, penganut Kristian percaya bahawa Nabi Isa A.S pernah berkhidmat untuk mencuci Haikal kedua yang pada ketika itu masih tertegak utuh di Baitulmaqdis. Selain itu juga, peristiwa penyaliban dipercayai berlaku di dalam kawasan Baitulmaqdis tetapi lokasi yang tepat masih lagi menjadi pertikaian sarjana-sarjana Kristian.

Pendapat yang paling diterima ramai adalah peristiwa itu berlaku pada tapak di mana tertegaknya sebuah gereja yang dianggap paling suci oleh penganut Kristian iaitu Gereja ‘Holy Sepulchre’, salah sebuah gereja di dalam kawasan kota lama. Di sini juga dianggap sebagai lokasi orang yang mereka percayai sebagai Nabi Isa A.S dimakamkan. Kota Baitulmaqdis sehingga kini masih menerima pengunjung Kristian yang ramai dari seluruh dunia terutamanya menjelang musim Easter.

Perang Salib yang berlaku pada 1099 Masihi juga menunjukkan keazaman penganut Kristian untuk menawan tanah suci ini daripada penguasaan orang Islam dan mereka telah berjaya menduduki kota ini selama kira-kira 200 tahun sehinggahlah kota ini dibebaskan oleh panglima Islam yang unggul iaitu Salahuddin al-Ayubbi pada tahun 1187 Masihi. Diriwayatkan bahawa ketika tentera salib dihalau sepenuhnya dari kota, Salahuddin al-Ayubbi sendiri yang membersihkan Masjid al-Aqsa yang dijadikan kandang kuda oleh tentera salib, manakala Masjid Kubah Batu yang dijadikan sebagai gereja dikembalikan fungsinya sebagai sebuah masjid.

Penguasaan orang Islam berterusan sehinggalah ke akhir zaman Khalifah Uthmaniyyah yang menyaksikan Baitulmaqdis dikuasai oleh British sehinggalah mandat penguasaan itu tamat. Kewujudan negara Israel pada tahun 1948 menyaksikan peperangan antara Arab dan Yahudi berlaku untuk menguasai wilayah Palestin yang ketika itu dibahagikan secara berat sebelah oleh badan dunia PBB.

Penduduk Arab yang mewakili dua pertiga diperuntukkan hanya sepertiga kawasan sementara sepertiga Yahudi mendapat selebihnya tanah Palestin. Ketika itu PBB mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai wilayah antarabangsa tetapi pertempuran tentera Israel dan Arab menyebabkan bahagian barat kota jatuh ke tangan Yahudi dan diisytiharkan sebagai ibu kota negara Israel tetapi tidak diiktiraf oleh dunia.

Bahagian timur Baitulmaqdis dikuasai oleh negara Jordan, termasuklah kawasan kota lama Baitulmaqdis ini. Sehingga waktu ini, Haram al-Sharif merangkumi keluasan hampir seperlima daripada keluasan kota lama Baitulmaqdis masih dikuasai oleh orang Islam.

Kota lama Baitulmaqdis terbahagi kepada empat bahagian. Bahagian pertama adalah bahagian orang Islam iaitu bahagian yang terbesar antara kesemua bahagian, Kompleks Haram al-Sharif adalah sebahagian daripada kawasan orang Islam. Bahagian kedua adalah bahagian Yahudi dan selebihnya merupakan bahagian Kristian dan bahagian Kristian Armenia, iaitu bahagian yang paling kecil antara semua. Walaupun Orang Armenia juga merupakan penganut Kristian, tetapi mereka mendapat kawasan mereka sendiri di dalam kota dan bilangan mereka juga hanya kecil jika dibandingkan dengan kumpulan-kumpulan lain. Ketika Jordan menguasai kota lama, penganut Yahudi tidak dibenarkan beribadat di sekitar ‘Western Wall’ ataupun tembok ratapan itu dan kebanyakan tempat ibadat Yahudi ditutup dan sebahagian bahagian orang Yahudi di kota lama turut menempatkan penduduk Arab yang menjadi pelarian akibat wilayah mereka dirampas oleh Israel.

Tetapi perang pada tahun 1967 merubah lanskap kota ini sampai sekarang. Penglibatan Jordan di dalam perang negara-negara Arab dengan Israel menyebabkan bahagian timur kota ini jatuh ke tangan Yahudi, lebih teruk apabila wilayah Palestin yang selebihnya turut jatuh bersama sehinggalah ke Tebing Barat Sungai Jordan. Mesir pula kehilangan Semenanjung Sinai dan Genting Gaza sementara Syria terlepas Tanah Tinggi Golan.

Bermulanya kejatuhan Baitulmaqdis ini menyaksikan banyak pencabulan dilakukan oleh bangsa Yahudi ke atas Baitulmaqdis. Antaranya menjadikan kawasan ‘Western Wall’ sebagai tapak ibadat mereka selain pembinaan penempatan haram Yahudi yang mengelilingi kejiranan Arab di dalam usaha memastikan kota ini didominasi secara penuh oleh Yahudi. Penempatan masyarakat Yahudi turut dibina di dalam bahagian orang Islam.

Rumah-rumah penduduk Palestin dirampas dan digantikan dengan perumahan Yahudi. Lebih teruk lagi apabila kerajaan Israel meluluskan akta yang menggabungkan timur dan barat Baitulmaqdis sebagai satu kota dan menjadi ibu kota Israel yang rasmi menggantikan Tel Aviv yang sebelum ini menempatkan kedutaan-kedutaan asing. Pejabat Presiden dan Perdana Menteri, kediaman Presiden dan Perdana Menteri, bangunan Parlimen, Mahkamah Agung dan kementerian-kementerian Israel semuanya dipindahkan ke Baitulmaqdis secara beransur-ansur.

Masjid al-Aqsa juga beberapa kali telah dicabuli termasuklah dibakar oleh fanatik Yahudi sehingga membawa kemusnahan mimbarnya. Paling diingati adalah peristiwa yang berlaku pada tahun 2000, lawatan penuh provokasi Perdana Menteri Israel ketika itu iaitu Ariel Sharon ke kompleks Haram al-Sharif. Untuk rekod, Ariel Sharon terlantar koma akibat serangan strok semasa masih bertugas sebagai Perdana Menteri pada tahun 2006 dan masih tidak sedarkan diri.

Perlu diingatkan bahawa walaupun Israel menguasai kota ini secara total namun pengawalan kompleks Haram al-Sharif diberikan kepada badan Islam sebagai kawasan wakaf dan juga Raja Jordan dianggap sebagai penjaga Masjid al-Aqsa. Bendera negara Israel juga tidak dibenarkan dikibarkan di sekitar Haram al-Sharif. Penganut agama lain juga dilarang memasuki kompleks suci ini dan askar-askar serta polis Israel berkawal di pintu masuk dan pengunjung mesti membuktikan mereka ini adalah Islam sebelum memasuki kompleks untuk beribadat. Langkah ini diambil bagi mengelakkan terjadinya pertikaian seterusnya membawa kepada pertumpahan darah memandangkan lokasi ini amat sensitif bagi semua penganut agama samawi.

Namun sampai bilakah langkah ini berterusan menjadi tanda tanya memandangkan sikap kerajaan zionis Israel sendiri yang suka melakukan provokasi ke atas penduduk Palestin dan pengyahudian Baitulmaqdis bukan lagi sesuatu agenda yang rahsia.

Hari ini, Kota Baitulmaqdis masih berada di bawah kekuasaan bangsa Yahudi yang menyimpan impian untuk meruntuhkan Masjid al-Aqsa yang mahu digantikan dengan Haikal ketiga mereka yang dipercayai menjadi Haikal terakhir mereka, malahan mereka bertungkus lumus melakukan aktiviti carigali di sekitar kompleks Haram al-Sharif untuk menguatkan dakwaan pemilikan mereka ke atas kawasan suci itu sebelum terbinanya masjid-masjid di atasnya.

Mengikut berita yang tersebar luas, mereka melakukan penggalian di bawah tapak masjid sehingga meletakkan Masjid al-Aqsa dan Masjid Kubah Batu di dalam risiko keruntuhan akibat aktiviti yang kononnya berlandaskan kerja-kerja arkeologi itu. Kaum Yahudi kelihatan begitu teruja untuk merealisasikan pembinaan Haikal Sulaiman mereka itu, bagi mereka pembinaan itu adalah sesuatu yang menjadi tuntutan agama mereka dan perlu dilaksanakan, yang menjadi persoalan hanyalah bila Haikal Sulaiman itu akan dibangunkan?

- Artikel iluvislam.com

{ 8 comments… read them below or add one }

khadijah September 26, 2011 at 4:00 am

its good islamic info since we muslim need to know about it
but its a little too long to be read
people who dont like to read could grow bored reading

still its a precious info
its just hav to be presented in a more attractive way
so that every people who come across this blog could finish reading it, understand the whole subject
insyaAllah

Reply

ahmad raqee October 10, 2011 at 12:14 am

wah, baca melayu, komen orang putih. :)

Reply

mellyna November 23, 2012 at 2:02 am

It’s not even wrong to put comments in English though.

Reply

Dzulkifli September 27, 2011 at 4:11 pm

It would be good if more pictures related to the report are also shown so we can understand thru it even without being there (Baitulmaqdis).

Reply

Raja Ismael October 15, 2011 at 10:55 am

Should probably be translated to English as well. It’d be better understood.

Reply

Aaron November 11, 2011 at 8:00 pm

Gud info …

Reply

Zarifah February 15, 2012 at 1:59 pm

smbg esok,,,best3

Reply

saudagar husin lempoyang November 23, 2013 at 12:45 am

WAUUUU…. !!!

Reply

Leave a Comment

Previous post:

Next post: