Lelaki dan Cincin Suasa

by admin on November 29, 2011

Print Friendly

Sumber:
Kitab Fatwa Syeikh Abd Qadir , Fatawa Mufti Negeri Johor dan Pelita Penuntut.

http://www.ustazazhar.net/

SOALAN:
Assalamualaikum Ustaz. Apa hukum org lelaki memakai cincin suasa? Ada pendapat mengatakan haram. minta penjelasan dari ustaz.

JAWAPAN:
Waalaikumussalam. Apa yang saya ketahui hukum memakai cincin suasa bagi orang lelaki adalah haram kerana ia diperbuat daripada emas yang bercampur dengan logam lain. Samalah seperti haramnya lelaki memakai emas putih seklipun emas putih itu bukan 100% diperbuat daripada emas.

Kata Imam Nawawi dalam kitab Syarah Muslim yg bermaksud:

“Emas itu adalah haram atas lelaki memakainya samdaa emasnya sedikit atau banyak.”

Syeikh Abd Qadir Al-Mandili menyebut dalam fatwanya :

“Dan adalah suasa itu haramlah bagi kaum lelaki memakainya.”

 

Fatwa Daripada Kerajaan Brunei Darussalam

Emas suasa ialah pancalogam atau campuran daripada emas dan tembaga.

Barang-barang kemas yang diperbuat daripada emas suasa, seperti cincin, gelang, kalung dan sebagainya adalah termasuk di antara barang-barang yang diharamkan bagi kaum laki-laki memakainya, kerana perhiasan emas yang diharamkan itu tidak kira sama ada ianya terdiri daripada emas semata-mata (tidak bercampur dengan benda yang lain) ataupun sebahagiannya daripada emas dan sebahagian lagi daripada benda yang lain (bercampur). Sedangkan zat emas itu terdapat pada emas suasa. Di samping itu, terdapat unsur bermegah-megah dan membanggakan diri dengan memakai emas suasa itu.
(Tuhfah 1/118-119, Al-Raniri, Sirat al-Mustaqim m.s. 25, Fatwa siri 4/86)

Al-‘Allamah asy-Syeikh Nuuruddin Muhammad Jilani ar-Raniri di dalam kitabnya Sirat al-Mustaqim menjelaskan: “Dan demikian lagi, haram memakai suasa…..”(M.s. 25)

Allahyarham Yang Dimuliakan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz pernah ditanya mengenai hukum orang laki-laki memakai rantai leher, gelang tangan, cincin yang dibuat daripada suasa. Beliau menjelaskan:

“Haram di atas laki-laki memakai barang-barang kemas dari emas seperti cincin dan juga dari suasa, kerana suasa itu suatu logam yang terjadi dari emas dan suasa. Berkata al-Imam an-Nawawi dalam Minhaj: “Halal digunakan tiap-tiap bejana yang suci, melainkan bejana yang diperbuat dari emas atau perak adalah haram digunakan.”

Kata al-Imam Ibnu Hajar lepas matn al-Minhaj ini: “Semuanya atau setengahnya dari salah satu dari keduanya (emas dan perak) atau dari keduanya.”

Berkata al-Imam Ibnu Hajar, sebab diharamkan ialah kerana ‘ain (emas ada pada suasa itu), dengan syarat ada khuyala’ iaitu bermegah-megah dan membesarkan diri dengan memakai suasa itu.

Berkata ulama: “Kerana warna yang ada pada suasa itu warna kuning, sekalipun sedikit pada pandangannya, tetapi warna kuning itu tiada sepenuhnya bahkan warna kuning bercampur dan bersulam dengan warna merah dan ada khuyala’ pada memakai suasa seperti ada khuyala’ pada memakai emas.”

Oleh yang demikian memakai cincin dari suasa adalah haram, apatah lagi kalau cincin itu dibuat dengan semata-mata emas.” (Fatwa siri 4/86)

JAWAPAN DARI JABATAN MUFTI KEDAH

Soalan:
Apakah hukum memakai cincin suasa?

Jawapan:
Menurut kenyataan dan perakuan daripada tukang-tukang emas beragama Islam yang ada kepercayaan dan mempunyai pengalaman dan pengetahuan terhadap jenis-jenis logam yang diperbuat hiasan adalah suasa itu sejenis logam yang diadun dari berbagai-bagai logam menurut kadar dan peratus yang tertentu iaitu:

1. Tembaga 70%
2. Emas 20%
3. Perak 10%

Logam ini setelah diadun dan dicampur dengan cara-cara yang tertentu akan beroleh menjadi sejenis logam yang dikenali sekarang ini sebagai suasa dan suasa ini menurut perakuan dari tukang-tukang emas tersebut apabila dilebur kali pertama maka unsur-unsur emas di dalamnya tiada dapat dikesan lagi dan apabila dilebur pada kali kedua akan berubah menjadi tembaga.

Menurut pendapat fuqaha’ adalah halal bagi lelaki memakai cincin daripada logam yang ” مموه” iaitu yang bersadur atau bercampur dengan emas yang sekiranya dileburkan emas itu tiada dapat dikesan lagi dan jika dapat dikesan halal bagi orang-orang perempuan sahaja iaitu tertentu pada barang-barang hiasan mereka tiada pada barang-barang lain, walaubagaimana pun perbuatan menyadur atau mencampur itu adalah haram sekalipun bagi perhiasan-hiasan perempuan kerana terdapat padanya pembaziran.

Rujuk nas Tuhfah Muhtaj Bi Syarh Al-Manhaj juzuk 1 hlmn 122.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

{ 39 comments… read them below or add one }

Leave a Comment

CommentLuv badge

{ 1 trackback }

Previous post:

Next post: