Hukum Memakai Tangkal

by admin on March 28, 2013

Menggantungkan tangkal di badan untuk dijadikan sebagai penghadang daripada gangguan makhluk halus atau untuk menyembuhkan diri daripada sesuatu penyakit boleh dibahagikan kepada dua bahagian ;

Pertama, menggunakan tangkal yang mempunyai bahan seperti tulang binatang atau kayu yang dikatakan berhikmah, atau seumpamanya, para ulama tidak ada khilaf untuk mengharamkannya, kerana ia boleh menjerumuskan seseorang itu kelembah syirik.

Sabda Rasulullah saw,

من علق ودعة فلا ودع الله له ومن علق تميمة فلا تمم الله له

Maksudnya : “ Barangsiapa yang menggantungkan manik-manik (tangkal) maka Allah tidak akan menjaganya. Barangsiapa yang menggantungkan tamimah (tangkal) maka Allah tidak akan menyempurnakan sesuatu untuknya”. (Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

Kedua, adapun menggantungkan tangkal yang bahannya adalah ayat-ayat Al-Quran, maka dalam hal ini para ulama berbeza pendapat. Satu golongan mengatakan hukumnya adalah haram dan satu lagi golongan menyatakan harus.

Antara golongan ulama yang menyatakan haram ialah Ibnu Abbas, Huzaifah, Abdullah bin Mas’ud, sebahagian ulama Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal (salah satu riwayat daripadanya). Mereka berpandukan kepada maksud umum hadis di atas tadi, yang menyebut dengan jelas bahawa Nabi saw melarang umatnya menggunakan tangkal. Tidak kiralah sama ada bahan yang digunakannya itu daripada Al-Quran atau bukan daripada Al-Quran.

Hujah mereka, menggantungkan tangkal pada badan, boleh menyebabkan diri seseorang hilang penggantungan (tawakal) kepada Allah SWT. Sedangkan tawakal yang sebenar seseorang hamba hanyalah kepada Allah SWT sahaja, tidak boleh lain daripada itu.

Perbuatan menggantung tangkal yang terdapat ayat-ayat Al-Quran juga boleh membawa kepada penghinaan terhadap ayat-ayat suci Al-Quran. Apatah lagi jika ia di bawa masuk ke dalam tandas atau sipemakainya terlibat dengan pekerjaan yang bercanggah dengan syariat seperti pekerjaan maksiat dan sebagainya.

Manakala golongan ulama yang berpendapat hukum memakai tangkal yang bahannya adalah daripada ayat-ayat Al-Quran itu adalah harus, didokong oleh Abdullah bin ‘Amru bin Al-‘As, Abu Jaafar al Baqir dan Imam Ahmad bin Hanbal (salah satu riwayat daripadanya). Hujah mereka, sahabat Rasulullah saw pernah berbuat demikian untuk anak-anak mereka yang belum menghafaz Al-Quran.

Menurut Prof Dato’ Dr. Haron Din, walaupun terdapat perbezaan pandangan ulama tentang hal ini, akan tetapi perubahan zaman boleh membawa kepada perubahan hukum. Jika dirujuk kepada zaman sekarang, akidah umat Islam sedang terancam, umat Islam tidak begitu kuat bergantung kepada Allah, iman mereka begitu rapuh, mereka tidak lagi memperdulikan halal dan haram, apa yang mereka mahu ialah kenikmatan hidup yang sementara di dunia, tanpa memperdulikan untung nasib di akhirat.

Ditambah pula dengan suburnya gejala maksiat, syirik dan kufur kepada Allah SWT. Oleh yang demikian, jika penggantungan ummah kepada tangkal, tidak dibendung atau dicegah dengan sejelas-jelasnya ia akan mendorong masyarakat terjerumus kepada kerosakkan akidah.

Kesimpulannya, pendapat yang sahih, keharusan memakai tangkal yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran sebenarnya adalah di awal permulaan Islam. Apabila keimanan para sahabat sudah kuat tertanam dalam diri, maka Rasulullah saw melarang sama sekali memakai tangkal walaupun menggunakan ayat-ayat Al-Quran.

Hikmahnya ialah untuk mencegah daripada keburukkan yang lebih besar, memelihara kesucian Al-Quran dan seterusnya untuk membulatkan keyakinan bahawa hanya Allah SWT sahaja yang mampu melindungi manusia daripada segala-galanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

{ 0 comments… add one now }

Leave a Comment

CommentLuv badge

Previous post:

Next post: