Hukum Isteri Meminta Cerai

by admin on September 10, 2012

Print Friendly

Soalan:

Saya sedang membaca berkenaan hukum seorang isteri meminta cerai daripada suami. Saya dapati terdapat hadis-hadis yang melarang daripada meminta cerai. Pada waktu yang sama terdapat sebuah hadis di mana seorang isteri dengan mudah telah meminta cerai daripada suaminya di hadapan Rasulullah, dan baginda mengizinkannya. Jadi bagaimanakah cara yang betul untuk memahami hadis-hadis ini?

Jawapan:

Perceraian adalah satu perkara yang dibolehkan oleh Islam jika semua usaha untuk membaik-pulih hubungan suami-isteri menemui jalan buntu. Hadis-hadis yang melarang perceraian, dimaksudkan ialah sengaja meminta cerai tanpa sebab-sebab yang munasabah. Di antaranya ialah hadis berikut: Para isteri yang meminta cerai ialah wanita-wanita yang munafiq. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 1186] Namun hadis berikut lebih terperinci dalam menjelaskan bentuk tuntutan cerai yang dilarang oleh Islam:

Mana-mana wanita yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan yang munasabah, maka haram baginya bau syurga. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2226]

Maksud alasan yang munasabah ialah umpama suami yang kaki judi, merampas wang isteri, minum arak, kaki pukul isteri atau apa-apa pelanggaran syari’at yang lain. Termasuk pelanggaran syari’at ialah apabila suami secara sengaja tidak melaksanakan peranannya sebagai qawwamun ke atas isterinya.

Ada pun hadis berkenaan seorang isteri yang dengan mudah meminta cerai di hadapan Rasulullah, saya percaya hadis yang dimaksudkan ialah seperti berikut: Sesungguhnya isteri Tsabit bin Qais datang kepada Nabi dan berkata: “Wahai Rasulullah! Tsabit bin Qais tidak aku cela dalam akhlak dan agamanya, akan tetapi aku tidak menyukai kekufuran di dalam Islam.”

Rasulullah bertanya: “Apakah engkau (sudi) mengembalikan kebunnya kepada (Tsabit, yang sebelum itu diberikan sebagai mas kahwin)?” Isteri Tsabit menjawab: “Ya.”

Rasulullah bersabda (kepada Tsabit): “Terimalah kebun itu dan talaklah dia dengan talak satu.” [Shahih al-Bukhari, no: 5273]

Zahir hadis menunjukkan Rasulullah membenarkan seorang isteri meminta cerai meskipun suaminya tidak memiliki masalah dari aspek akhlak dan agama. Akan tetapi hakikat sebenar tidaklah sedemikian. Isteri Tsabit adalah seorang yang mulia, beliau tidak mahu mendedahkan aib Tsabit kepada Rasulullah atau orang lain. Namun apa yang sebenarnya berlaku antara beliau dan Tsabit dapat diketahui melalui sebuah riwayat lain:

Daripada al-Rubayi’ binti Mu‘awwidz, bahawa Tsabit bin Qais memukul isterinya hingga tangannya patah. Isterinya (bernama) Jamilah binti Abdullah bin Ubay.

Kemudian datanglah saudara lelaki (Jamilah) kepada Rasulullah mengadu berkenaan sikap suami tersebut (Tsabit). Maka Rasulullah mengutus seseorang kepada Tsabit…… [Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 3497]

Berdasarkan riwayat di atas, kesalahan Tsabit bin Qais memang diakui syarak lagi munasabah untuk Jamilah (isterinya) meminta cerai daripadanya. Meskipun Jamilah ingin menutupi aib suaminya di depan Rasulullah, baginda sudah pun mengetahui tentang kesalahan Tsabit setelah dikhabarkan oleh saudara lelaki Jamilah. Oleh itu Jamilah tidak meminta cerai daripada Tsabit tanpa apa-apa sebab yang syar’e atau munasabah.

Kesimpulannya, seorang isteri boleh minta cerai daripada suaminya jika dia memiliki sebab yang sah dari sudut syarak, kuat lagi munasabah. Namun hendaklah ingat bahawa ini adalah jalan keluar yang terakhir, bukan solusi yang awal. Semua perkahwinan akan menghadapi konflik dan cabaran, tidak ada yang terlepas daripadanya. Apa yang membezakan di antara satu perkahwinan dengan perkahwinan yang lain ialah usaha yang dilakukan oleh kedua-dua pasangan untuk saling memperbaiki suasana dan belajar dari kesilapan masing-masing.

 

Sumber: http://www.hafizfirdaus.com/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

{ 73 comments… read them below or add one }

Leave a Comment

CommentLuv badge

{ 1 trackback }

Previous post:

Next post: