≡ Menu

Hukum Doktor Membantu Gugurkan Kandungan Bukan Islam

Print Friendly

gugurkan

Soalan:

Apakah hukumnya jika seorang doctor yang Islam melakukan proses pengguguran ke atas pesakitnya yang bukan Islam bukan di sebabkan masalah-masalah kesihatan yang boleh menjejaskan nyawa?

Pengguguran tersebut adalah kehendak pesakit (Non-muslim) tersebut dan juga pasangannya. Mungkin mereka masih tidak mahu mempunyai cahaya mata atas alasan masih muda ataupun untuk menyembunyikan keterlanjuran mereka daripada pengetahuan ahli keluarga.

Untuk pengetahuan ahli panel sekalian, masalah ini menjadi dilema bagi doktor-doktor Islam yang bertugas di negara-negara Barat, Eropah dan China apabila berdepan dgn pesakit-pesakit non-muslim. Perkara ini juga menjadi masalah kepada doktor-doktor Islam di Malaysia yang membuka klinik sendiri.

Saya berharap ahli-ahli panel dapat menjawab persoalan ini. Jika tidak keberatan, sertakan sekali nas-nas dan juga dalil-dalil.

Wassalam

Jawapan:

وعليكم السلام و رحمة الله وبركاتهم
{ بسم الله الرحمن الرحيم }
(( رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي ))

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.

Berbalik kepada soalan saudara . Masyarakat Islam yang berada di sesebuah negara yang majoritinya adalah bukan Islam , hendaklah tidak menyepi daripada sebarang majlis-majlis pengajian agama , khasnya yang berkaitan dengan perkara-perkara yang mesti diketahui oleh setiap orang Islam , tidak kira sama ada dia adalah orang yang belajar di dalam ikhtisas pengajian Islam ataupun sebagai orang awam ( Fardhu ‘Ain).

Ilmu berkenaan dengan masyarakat Islam yang berada jauh di negara-negara yang dikuasai oleh masyarakat bukan Islam dikenali di dalam istilah – istilah ilmu-ilmu Islam sebagai “ FIQH al-AQALLIYAT al-MUSLIMAH “ ( Kefahaman yang berkaitan dengan minoriti muslimin ) . Ianya juga dinamakan sebagai “ FIQH al-MUSGHTARIBIN “ ( Kefahaman mengenai segala permasalahan yang ada kaitan dengan komuniti muslimin sebagai golongan pendatang – imigran ) , dan kadang-kadang fiqh ini juga digelar sebagai “ FIQH al-MUSLIMIN FI GHAIR al-MUJTAMA’ al-ISLAMI “ ( Kefahaman mengenai komuniti umat Islam yang mendiami kawasan yang dimiliki oleh masyarakt bukan Islam ).

Mengenai masalah menggugurkan anak ( الإجهاض ). Perbincangan dan hukum mengenainya dibahagikan oleh para fuqaha’ ( cendekiawan Islam di dalam ilmu-ilmu Fiqh ) kepada dua bahagian iaitu ; { 1 } – Apabila janin itu masih belum mencapai usia 120 hari ( 4 bulan ) , dan { 2 } – Apabila janin itu melebihi 120 hari ( 4 bulan ) .

JIKA JANIN ITU MASIH BELUM MENCAPAI USIA 4 BULAN :

4 bulan adalah waktu ditiupkan roh ke dalam jasad seseorang yang berada di dalam kandungan ( sbg mana hadist sahih yang diriwayatkan oleh Al-Imam al-Bukhari rh dan Al-Imam Muslim rh ) . Dan para fuqaha’ ( rh ) telah menyatakan mengenai hukum mengenai pengguguran janin yang berusia kurang drp 4 bulan sebagai mana berikut :

  1. BOLEH DILAKUKAN WALAUPUN TIDAK ADA SEBARANG ALASAN YANG KUAT DARI SUDUT AGAMA DAN ILMU PERUBATAN ~ Mazhab Az-Zaidiah , Sebahagian ulama’ bermazhab Hanafi , Maliki , Asy-Syafi’e dan Hanbali .
  2. BOLEH DILAKUKAN APABILA ADANYA ALASAN YANG KUAT DARI SUDUT AGAMA DAN ILMU PERUBATAN ~ Pandangan sebahagian ulama’ bermazhab Hanafi dan Asy-Syafi’e.
  3. IANYA ADALAH MAKRUH ~ Pandangan sebahagian lain daripada ulama’ bermazhab Maliki.
  4. IANYA ADALAH HARAM JIKA TIADA SEBARANG ALASAN YANG KUAT DARI SUDUT AGAMA DAN ILMU PERUBATAN ~ Pendapat terkuat daripada mazhab Maliki , Zohiriah , Al-Ja’afariah dan Al-Ibadhiah.

JIKA PENGUGURAN DILAKUKAN APABILA JANIN ITU SUDAH MENCAPAI USIA 4 BULAN DAN LEBIH :

Haram dilakukan pengguguran apabila janin itu sudah mencapai usianya 4 bulan dan lebih KECUALI jika ada alasan yang benar-benar kuat dan boleh dipercayai dari sudut ilmu agama dan ilmu perubatan , maka di saat itu hukum asalnya ( HARAM ) berubah menjadi harus / boleh kerana kaedah fiqh ada menyebut :

الضرورات تبيح المحظورات

Keadaan-keadaan dharurat ( terpaksa ) itu boleh mengharuskan ( dilakukan ) perkara- perkara yang dilarang ( haram )

Oleh itu , jika seorang doktor yang beragama Islam itu benar-benar percaya ( menurut ilmu perubatan ) bahawa jika janin itu ( sama ada ianya belum berusia 4 bulan ataupun lebih ) benar-benar boleh membahayakan kesihatan si ibu , maka tidaklah mengapa jika ianya digugurkan drp kandungan ibunya .

Adapun jika pasangan yang meminta agar si doktor itu menggugurkan janin di dalam kandungan itu TIDAK BERKAHWIN secara sah menurut ketentuan-ketentuan agama mereka ( lebih-lebih lagi jika mereka berdua beragama Islam ) , maka HARAM bagi si doktor muslim itu melakukan proses pengguguran itu kerana ianya telah terlibat ( bersubahat ) membantu pasangan itu melakukan maksiat dan jenayah pembunuhan . Apatah lagi jika ada doktor – doktor muslim yang memang sedia membantu , maka akan bertambah suburlah pula budaya zina dan seks bebas . Wal’iyadzu BilLahi Min Dzalik .

Tapi , jika pasangan yang meminta itu TIDAK BERKAHWIN SECARA SAH ( menurut agama masing-masing ) dan kandungan itu pula BENAR-BENAR BOLEH MEMBAHAYAKAN ibunya , maka tidaklah mengapa si doktor muslim itu membantu menggugurkan kandungan itu kerana si doktor muslim itu bukanlah bermaksud membantu ataupun bersubahat dengan pasangan itu untuk melakukan dosa , sebaliknya membantu mereka menghilangkan kesulitan dan kesengsaraan .

Maka , yang jelas pada kita ialah seseorang doktor muslim itu sendiri pula hendaklah memohon fatwa ( bertanya pendapat ) daripada dirinya sendiri apabila hendak melakukan proses pengguguran kandungan : “APAKAH YANG AKAN AKU LAKUKAN INI BENAR-BENAR PERLU DAN DIBENARKAN OLEH AGAMA DAN ILMU YANG KU TUNTUT ?” .

Ilmu-ilmu itu sendiri ( bukan sahaja ilmu-ilmu agama ) mesti dipelajari dan dipraktikkan secara AMANAH . Dan dengan sikap amanah inilah seseorang itu boleh menjauhkan dirinya drp sebarang kemurkaan Allah Ta’ala .

Mudah-mudahan sikap amanah kita terhadap agama dan ilmu-ilmu kita tidak pudar dan hilang daripada kita semua . Amin .

****************************************
RUJUKAN & SARANAN PEMBACAAN

[color=red] 1 – FATAWA WAL AHKAM LIL MARAH al-MUSLIMAH[/color]
Oleh : Al-‘Allamah Syeikh ‘Atiah Saqr ( ha )
( Bekas Pengerusi Lujnah Fatwa Al-Azhar )
ms 236
Terbitan : Maktabah Wahbah , Kaherah

[color=red] 2 – AL-FATAWA al-ISLAMIAH ( Jilid 9, ms 3093 – 3109 ) [/color]
( Himpunan Fatwa Mufti-Mufti Mesir Dahulu – Kini )
Terbitan : Majlis Tertinggi Hal-Ehwal Islam , Kementerian Waqaf Mesir

[color=red] 3 – FI FIQH al-AQALLIAT al-MUSLIMAH[/color]
Oleh : Al-‘Allamah Al-Imam Prof . Dr . Yusuf Al-Qaradhawi ( ha )
Terbitan : Darul Shurook , Kaherah

[color=red] 4 – AL-AQALLIAT ad-DINIAH [/color]
Oleh : Al-‘Allamah Al-Imam Prof . Dr . Yusuf Al-Qaradhawi ( ha )
Terbitan : Al-Maktab al-Islami , Beirut – Damsyiq – ‘Amman

Sekian . Wallahu A’alam Bis Sowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad .

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
{ 0 comments… add one }

Leave a Comment

CommentLuv badge

Next post:

Previous post: