7 Golongan Yang Mendapat Naungan Di Akhirat

by admin on March 8, 2012

Pada hari pertama pengadilan di padang mahsyar, seluruh manusia berhimpun semenjak manusia pertama iaitu Nabi Adam sehinggalah manusia terakhir. Keadaan manusia pada hari itu sesuai dengan amalannya semasa di dunia dahulu. Rasulullah SAW menggambarkan ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat pertolongan dan naungan pada hari itu, menerusi sabda beliau yang maksudnya:

“Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: “Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.” (HR. Abu Daud dan Ibnu Majah)

Terdapat tujuh golongan yang bakal mendapat naungan di hari akhirat kelak iaitu sesuai dengan hadith di atas, iaitu:

  1. Pemerintah yang adil. Ini kerana tanggungjawab dipikul pemerintah dalam melaksanakan keadilan adalah perkara yang amat berat dan bukanlah mudah bagi seorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya. Sekiranya keadilan ini berjaya ditunaikan, ganjarannya adalah amat besar sekali. Namun jika gagal, dia menjadi pemerintah yang zalim dan azab menanti di akhirat.
  2. Pemuda yang hidupnya sentiasa mengerjakan ibadat kepada Tuhannya. Ini kerana sebaik-baik masa dan semahal-mahal harganya di dalam hidup seseorang manusia adalah ketika alam remaja kerana pada usia muda seseorang berbagai ujian dan godaan terpaksa ditempuhi. Maka beruntunglah pemuda yang berjaya melepasi rintangan itu.
  3. Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid. Sesungguhnya terdapat hadis menyebutkan bahawa dua hayunan kaki yang melangkah ke masjid ganjarannya amat besar di sisi Allah SWT dan dikategorikan sebagai satu sedekah.
  4. Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah. Hubungan yang terjalin di atas dasar yang bercanggah dengan syariat sehingga melanggar batas agama, adab kesopanan dan sebagainya adalah hubungan yang menjurus ke arah dosa dan maksiat. Seharusnya ikatan kasih sayang yang dijalinkan sesama manusia mestilah ikhlas kerana Allah agar perhubungan itu mendapat pahala, restu dan keberkatan daripada-Nya.
  5. Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk berzina lalu dia menolak dengan berkata: “Aku takut kepada Allah!” Ini menunjukkan keimanan dan ketakwaan yang sebenar berjaya menangkis segala bentuk godaan yang datang. Hal ini bukanlah mudah kerana tanpa kekuatan iman seseorang itu pasti akan mudah terpengaruh dengan bisikan nafsu dan akhirnya terjebak dalam perbuatan zina.
  6. Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya. Ia menggambarkan mengenai keikhlasan hati orang yang bersedekah. Sesungguhnya tidak ramai orang dapat menyembunyikan kebaikan dilakukannya melainkan akan terdapat perasaan riak dan ingin menunjuk supaya mendapat pujian atau sanjungan dari orang ramai.
  7. Orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah. Inilah sifat muslim mukmin sejati yang mempunyai perasaan cintakan Allah dengan sepenuh hatinya. Dia sentiasa memikirkan dan menghayati kejadian dan keagungan ciptaan Allah serta sifat-Nya yang Maha Agung. Oleh yang demikian hati, fikiran dan jiwanya terhindar daripada perkara yang melalaikan.

 

Wallahua’lam.
Sumber: Buku Malam Pertama Di Syurga – Adil Akhyar, SH, LL.M

Sumber: http://www.ataphijau.com/

{ 4 comments… read them below or add one }

Zarifah March 8, 2012 at 1:28 pm

SMoga aq termsk golongan itu amin,,,,,,,

Reply

sky juice March 10, 2012 at 10:22 pm

insyaAllah….

Reply

akmalfaisal99 March 30, 2012 at 8:36 am

insyaallah aq termasuk d’ dlm golongan itu amin !

Reply

akmalfaisal99 March 30, 2012 at 8:36 am

insyaallah aq termasuk d’ dlm golongan itu amin

Reply

Leave a Comment

{ 1 trackback }

Previous post:

Next post: